THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Jumaat, Disember 18, 2009

Carilah Redha Tuhan.....

Muhasabahku dalam meniti hidup yang penuh warna:

Tidak semua manusia akan berpuas hati dengan keputusan mahupun tindakan kita. Apa yang kita lakukan, di hadapan atau di belakang kita kadang-kadang akan menerima kritikan orang lain. Jika tindakan kita benar atau haq, manusia yang anti kepada kebenaran akan mengkritik kita. Apatah lagi jika tindakan kita batil, tentulah lebih ramai yang membencinya.

Orang yang memegang jawatan teratas sering dikritik. Ada suara-suara yang mempertikaikan keputusan; dianggap tidak adil, berat sebelah, tidak bertimbang rasa. Bila kita cuba menyenangkan hati suatu pihak, ada pihak lain pula yang akan marah. Ada kalanya kita menegur kesalahan dengan niat untuk memperbaiki keadaan, tetapi dianggap pula menunjuk pandai dan cerewet lantaran sikap sesetengah pihak yang tidak mahu menerima teguran.

Apa pun kritikan orang pada kita, janganlah cepat melatah, malah jadikanlah ia sebagai muhasabah diri. Mungkin ada tindakan kita yang menzalimi orang lain juga kurang tepat di sisi syara’, maka perbaikilah dan cerahilah.

Jika orang mengkritik kita padahal urusan kita telah dilaksanakan sebaiknya, bersabarlah dan berlapang dada. Beserahlah segalanya pada Allah, moga-moga kita dijauhi dari kezaliman dan dibukakan hati mereka yang mengkritik itu untuk menerima kebenaran.

Kata Imam Syafie: “Sampai bila-bila pun kita tidak mampu dan akan mencapai kesemua redha manusia.”


Maka berbuatlah sesuatu hanya kerana Allah, kerana jika kita melakukan sesuatu semata-mata kerana-Nya, kita akan melakukan pekerjaan kita dengan sebaik-baiknya dan terlepas dari belenggu resah mencari redha manusia.

0 comments: